Wednesday 6 December 2017

ISU BERKAITAN TEKNOLOGI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN

Perkembangan teknologi berkembang dengan begitu pesat era globalisasi kini. Justeru, para guru perlu meningkatkan lagi pengetahuan mereka seiring dengan peningkatan tersebut. Hal ini menyebabkan guru yang kurang berkemahiran perlu lebih banyak mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan ICT. Tambahan pula, di sekolah terdapat ramai guru yang sudah berusia yang mana boleh dikatakan sebagai “buta IT” dan sukar bagi mereka menyahut seruan KPM untuk mengaplikasi penggunaan ICT ini di dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Para guru perlu berdepan dengan transformasi pendidikan ini dek kerana kanak-kanak era ini lebih cenderung kepada teknologi. guru juga perlu memainkan peranan penting dalam hal ini.

Oleh itu, antara cadangan yang boleh dikemukan adalah dengan memperbanyakkan kursus-kursus kepada para guru mengenai penggunaan Frog VLE. Hal ini kerana, guru tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mempelajari cara menggunakan aplikasi ini dek kerana beban tugas guru semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, dengan adanya kursus para guru ini dapat mengecualikan diri dalam beberapa jam untuk sepenuhnya mempelajari penggunaan Frog VLE ini. Para pentadbiran sekolah perlu memainkan peranan yang penting agar membantu para guru yang kurang berkemahiran ini untuk mempelajari cara penggunaannya. Pihak pentadbiran boleh memohon kepada PPD untuk mengadakan kursus penggunaan Frog VLE khas kepada para guru.

Selain itu, guru itu sendiri perlu menggunakan medium Frog VLE ini sebagai platform pembelajaran. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan pembelajaran kolaboratif yang mana guru mengadakan satu perbincangan secara atas talian (bilik darjah maya). Pelajar hanya perlu menjawab soalan perbincangan yang dikemukan secara atas talian dan pelajar boleh mencari maklumat perbincangan juga menggunakan maya. Hal ini dapat membantu pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka menggunakan internet dan komputer. Pelajar yang mempunyai minat yang tinggi di dalam bidang ICT juga pasti akan lebih seronok untuk belajar dan mampu membantu rakan-rakanya yang kurang kemahiran dalam penggunaan ICT. KPM sendiri menekankan pembelajaran abad ke-21 di dalam bilik darjah. Dan kaedah ini merupakan salah satu daripada pembelajaran abad ke-21.

Seterusnya, cadangan lain bagi meningkatkan penggunaan medium ICT khususnya Frog VLE ini di sekolah adalah dengan menaik taraf jalur lebar di sekolah-sekolah luar bandar. Bukan hanya di pedalaman sabah sarawak sahaja yang menghadapi masalah ini tetapi sekolah-sekolah di pedalaman semenanjung juga menghadapi masalah ini. Kerajaan perlu mencari satu inisiatif yang baru agar pendidikan anak-anak pedalaman ini tidak jauh ketinggalan dengan pendidikan sekarang. Terdapat guru yang berkemahiran dalam penggunaan ICT tetapi apabila berkhidmat di sekolah pedalaman guru ini tidak boleh membantu pelajar untuk mengeksplotasi medium ICT ini. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menambahbaik corak pendidikan abad ke-21 di sekolah pedalaman.

Pihak kerajaan juga perlu meningkatkan kemudahan ICT di sekolah-sekolah pedalaman. Seperti yang kita semua sedia maklum, sekolah-sekolah di kawasan pedalaman agak kurang berkembang dari segi kemudahan pendidikan. Di mana, masih terdapat sekolah yang tidak mempunyai kemudahan komputer. Oleh itu, kerajaan dan KPM perlu mencari satu inisiatif bagi membantu para guru di sekolah pedalam mendapatkan kemudahan komputer. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa kemudahan ICT tidak perlu disediakan di sekolah pedalaman kerana pelajar sekolah pedalaman majoritinya “buta IT”. Kenyataan itu seharusnya tidak berlaku kerana, pendidikan bukan mengira tahap, pangkat, agama dan budaya semata-mata. Pendidikan wajib diberikan kepada semua golongan sama ada susah mahupun senang. Tiada istilah “buta IT” jika masih terdapat sekolah yang tiada kemudahan ICT ini. Para pelajar di sekolah-sekolah pedalaman juga berhak untuk mendapatkan pendidikan selari dengan sekolah-sekolah bandar. 

Dengan adanya pendidikan berteraskan teknologi ini, sudah pasti pelajar akan lebih berminat untuk belajar dan guru juga akan lebih mudah untuk mengawal mereka. 

No comments:

Post a Comment